Rakyat Kemboja zahir terima kasih kepada PMX atas usaha damai bersejarah

RAKYAT Kemboja membanjiri laman Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan ucapan terima kasih dan penghargaan atas kejayaannya menjadi perantara utama dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang membawa kepada termeterainya Perjanjian Damai Kuala Lumpur, pada Ahad.

Rata-rata rakyat Kemboja menzahirkan rasa terharu terhadap kepimpinan dan keprihatinan Anwar yang disifatkan sebagai pemimpin berjiwa besar serta tokoh keamanan serantau yang berjaya menghentikan konflik berlarutan di sempadan kedua-dua negara itu.

Antara yang menarik perhatian ialah kiriman pengguna Facebook bernama Sreykeang Sem, yang menulis surat terbuka penuh emosi kepada Perdana Menteri Malaysia.

“Dengan penuh rasa hormat, saya ingin menzahirkan penghargaan tulus ikhlas atas kepimpinan dan sifat belas kasihan tuan dalam memupuk keamanan serta persefahaman di rantau kita.

Tindakan tuan bukan sahaja membawa harapan, tetapi juga memberi ketenangan sebenar kepada mereka yang telah lama hidup dalam ketakutan dan ketidaktentuan. Dengan kebijaksanaan dan keberanian tuan, anak-anak di kawasan sempadan kini dapat membesar di bawah langit yang aman,” tulisnya.

Sreykeang turut menyifatkan Anwar sebagai contoh kepimpinan sejati yang mengutamakan kehidupan manusia, persahabatan dan keharmonian, serta menyatakan penghargaan rakyat Kemboja yang mungkin tidak berpeluang mengucapkan terima kasih secara peribadi.

Seorang lagi pengguna, Keang Hak, menulis ucapan rasmi mewakili rakyat dan kerajaan Kemboja, dengan menyifatkan tindakan pantas Anwar telah menyelamatkan ribuan nyawa.

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bagi pihak rakyat dan kerajaan Kemboja, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas inisiatif dan usaha tuan membina keamanan antara dua negara ASEAN.

Tindakan segera tuan telah menyelamatkan ribuan, malah mungkin jutaan nyawa. Tuan telah membuktikan bahawa keamanan sentiasa boleh dicapai. Semoga keamanan ini berkekalan,” tulisnya.

Ucapan senada turut dikongsi oleh Dara Hong, yang menzahirkan rasa bangga terhadap peranan Malaysia dalam memastikan keamanan dicapai di negaranya.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi Bergilir ASEAN. Kami rakyat Kemboja tidak akan melupakan komitmen tuan yang sentiasa membantu kami sejak awal hingga berjaya membawa keamanan kepada negara kami,” katanya.

Selain rakyat Kemboja, pengguna dari Malaysia turut menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan diplomasi Perdana Menteri.

Pengguna bernama ChipsYap PS berkata tindakan Anwar di pentas antarabangsa wajar dijadikan contoh, sambil memuji kemampuannya berucap dengan yakin dalam bahasa antarabangsa.

“Walau apa pun pandangan berbeza terhadap Perdana Menteri di kalangan rakyat Malaysia, ini merupakan detik membanggakan buat negara. Saya berasa bangga apabila melihat beliau mampu berucap dengan yakin di pentas antarabangsa dalam bahasa yang diiktiraf di seluruh dunia,” tulisnya.

Sementara itu, Romanus RomReg Piong menyatakan keyakinan bahawa Malaysia berpotensi menjadi kuasa serantau yang berpengaruh di Asia Tenggara hasil dasar diplomasi matang yang diterajui oleh Perdana Menteri.

“Malaysia mungkin tidak akan menjadi kuasa besar seperti Amerika Syarikat atau China dalam masa terdekat, namun negara ini mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai kuasa serantau yang disegani serta menjadi contoh kestabilan dan kemajuan di Asia Tenggara,” katanya.

Pada Ahad, Malaysia melakar sejarah apabila menjadi saksi kepada Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang dimeterai antara Kemboja dan Thailand, menandakan berakhirnya konflik berpanjangan antara kedua-dua negara jiran itu.

Perjanjian bersejarah tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri bersama-sama Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.

Related Posts

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

KAZAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, Persekutuan Rusia, selama dua hari bermula esok. Wisma Putra memaklumkan, Perdana…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Jangan manipulasi fakta!

Jangan manipulasi fakta!

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi