
KOTA KINABALU – Peguam ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memaklumkan bahawa saksi kanak-kanak ke-20 (deponen ke-29) dalam prosiding inkues hari ini menggambarkan Zara sebagai seorang pelajar yang ceria, periang dan suka menolong rakan-rakan.
Menurut Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, saksi memberitahu bahawa Zara dikenali sebagai pelajar yang happy-go-lucky, aktif serta mudah bergaul dengan semua orang.
“Zara suka berkawan dan suka bertegur sapa dengan semua orang,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding inkues di Mahkamah Koroner di sini, pada Khamis.
Peguam berkata, saksi turut memaklumkan bahawa pada malam kejadian, 15 Julai, sekitar pukul 8.30 malam, dia melihat Zara berada dalam keadaan mendiamkan diri di dalam kelas prep.
“Saksi berkata, biasanya dia tahu Zara seorang yang sangat aktif dan ceria ketika waktu prep.
“Tetapi malam itu, dia nampak Zara tunduk dan senyap,” jelasnya.
Menurut Syarulnizam, selesai kelas malam sekitar pukul 10 malam, saksi pulang ke bilik dorm bersama rakan-rakannya.
Sekitar pukul 10.50 malam, saksi ke bilik dorm lain untuk meminjam baju sebelum kembali semula ke biliknya pada pukul 10.55 malam.
“Saksi juga memberitahu bahawa dia tidak mendengar sebarang jeritan atau pergaduhan dari arah bilik dorm Zara ketika itu,” katanya.
Tambah beliau, sekitar pukul 12.30 tengah malam, saksi mengalami sakit perut dan ditemani seorang rakan ke tandas di aras tiga.
“Di situ, mereka terserempak dengan seorang pelajar junior dari bilik dorm Zara yang memaklumkan bahawa Zara berada di dalam tandas nombor satu.
“Mereka menunggu Zara keluar selama lebih kurang lima minit, tetapi Zara tidak juga keluar.
“Saksi kata dia menunggu kerana mahu menggunakan tandas nombor satu walaupun tandas lain masih ada,” katanya.
Menurut Syarulnizam, saksi tidak memanggil atau mengetuk pintu tandas, sebaliknya mengisi air ke dalam gelen kerana bimbang bekalan air terputus menjelang Subuh.
Ketika itu, dua orang kawannya keluar menunggu di koridor.
“Ketika sedang menghadap cermin, saksi ternampak pantulan kepala dan muka Zara di atas dinding tandas nombor satu.
“Saksi berkata Zara seolah-olah sedang memerhati siapa yang ada di dalam tandas.
“Lampu tandas ketika itu terpasang dan saksi dapat mengecam wajah Zara yang kelihatan sedikit pucat,” katanya.
Syarulnizam berkata, saksi kemudian keluar ke koridor dan berbual dengan dua rakannya sambil menunggu Zara keluar.
Saksi memberitahu dari luar tandas, mereka masih mendengar bunyi seperti seseorang sedang memijak mangkuk tandas dari dalam tandas nombor satu.
“Apabila jam menunjukkan lebih kurang pukul 12.50 tengah malam, saksi bersama rakan-rakannya ke bilik dorm Zara untuk mengejutkan ketua dorm dan ahli bilik dorm bagi memaklumkan bahawa Zara tidak keluar dari tandas.
“Tujuan mereka ialah supaya ada yang boleh temankan mereka melihat keadaan Zara.
“Namun tiada seorang pun yang mahu bangun.
“Ketua dorm hanya berkata, ‘Kenapa dia berkurung juga tu? Biar la dia tu,’ manakala yang lain kelihatan mamai dan sambung tidur,” katanya.
Beliau berkata, selepas itu, saksi dan rakan-rakannya pulang ke bilik masing-masing. Saksi kemudian tertidur dan hanya terjaga sebentar sekitar pukul 1.00 pagi, melihat dua kawannya bergerak pulang ke dorm masing-masing.
“Saksi memaklumkan bahawa dia hanya mengetahui tentang kejadian tragis melibatkan Zara pada keesokan harinya, 16 Julai, ketika waktu tengah hari,” katanya.





