KUANTAN – Kerajaan Terengganu dipimpin Pas diminta berhenti menyalahkan pihak lain atas kelemahan pentadbiran mereka sendiri.
Sebaliknya, mereka dinasihatkan untuk menumpukan usaha memperbaiki kecekapan urus tadbir negeri.
Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim berkata, negeri Terengganu diakui pernah mempunyai rekod pentadbiran yang baik di bawah Barisan Nasional (BN) menerusi pelbagai projek infrastruktur, kemudahan awam dan pembangunan kepada rakyat.
“Selepas Pas mengambil alih pemerintahan, apa sumbangan yang boleh dibanggakan dilakukan mereka?
“Sebaliknya, budaya menuding jari serta menyalahkan negeri lain, termasuk Pahang, apabila berdepan kelemahan sendiri sering diamalkan pimpinan mereka.
“Kalau benar mahu dibandingkan, eloklah cermin diri dahulu. Dari segi hasil negeri, peluang pekerjaan dan pembangunan, Terengganu masih di kelompok bawah,” katanya.
Mohd Kamil berkata, kerajaan Pahang berjaya mengimbangi hasil dan kebajikan rakyat melalui pengurusan tarif air, kutipan cukai dan pelbagai inisiatif kebajikan serta pendidikan secara berhemah.
“Sedangkan jumlah penjawat awam di Terengganu kini melebihi 14,000 orang – hampir dua kali ganda berbanding 2018 – namun peningkatan itu tidak disertai peningkatan prestasi pentadbiran negeri.
“Apabila bilangan penjawat awam bertambah, sepatutnya pentadbiran menjadi lebih cekap.
“Tetapi apa yang berlaku sebaliknya – kos operasi meningkat, hasil negeri tidak sepadan,” tambahnya.
Beliau turut mendakwa pembangunan di Terengganu masih bergantung kepada warisan era BN, manakala dasar ekonomi baharu pula tidak jelas sehingga pelaburan semakin menjauh.
“Rakyat sudah mula sedar hasil minyak ada, tetapi hasil pembangunan tidak ke mana. Bila ditegur, mereka cepat melenting, seolah-olah teguran rakyat itu musuh,” ujarnya lagi.
Mohd Kamil menyeru barisan pimpinan Kerajaan Negeri Terengganu bermuhasabah dan berhenti bermain sentimen politik.
“Kalau sudah dua penggal memerintah pun masih belum nampak perubahan ketara, eloklah periksa semula keupayaan sendiri sebelum sibuk menuding jari ke negeri lain,” tambahnya.





