
SARATOK – Polis menahan seorang wanita dan seorang lelaki dalam dua kes berasingan melibatkan jenayah komersial serta penyalahgunaan dadah di daerah ini pada 21 dan 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Maggie berkata, dalam kes pertama, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Saratok menahan seorang wanita berusia 21 tahun di Saratok selepas disyaki terlibat dalam kes penipuan pembelian dalam talian.
Menurutnya, suspek dipercayai membenarkan akaun bank miliknya digunakan untuk menerima bayaran bagi pembelian produk berjenama bernilai RM2,500 daripada seorang mangsa di Melaka.
“Mangsa telah membuat pindahan wang berjumlah RM2,500 ke akaun suspek melalui transaksi dalam talian. Namun selepas mendapati dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis di Melaka untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku akaun tersebut miliknya namun menafikan terlibat secara langsung dalam urus niaga berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam perkembangan berasingan, polis turut menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di kawasan Kolam Udang Kabong selepas disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Mathew berkata, tangkapan dilakukan oleh pasukan Task Force Op Tapis IPD Saratok yang diketuai SI Engelbert selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan penagihan di kawasan berkenaan.
“Suspek dibawa ke Balai Kabong untuk ujian air kencing dan hasil saringan awal mendapati dia positif amphetamine dan methamphetamine,” katanya.
Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes narkotik.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mathew mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat, dan menyeru agar masyarakat terus bekerjasama dengan pihak polis bagi membanteras jenayah serta penyalahgunaan dadah di daerah Saratok.







