
SARATOK – Empat lelaki ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di sekitar pekan Saratok, Kabong, dan Roban baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kesemua suspek ditahan semasa Op Tapis Khas yang dijalankan oleh IPD Saratok pada Khamis (9 Oktober).
“Kesemua suspek yang ditahan adalah berumur antara 32 hingga 47 tahun,” katanya dalam kenyataan semalam.
“Keputusan saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelas beliau lagi.
Beliau turut menambah, operasi yang dijalankan oleh Pasukan Taskforce Khas itu bertujuan mengesan dan menangkap pesalah-pesalah yang mengedar serta menggunakan dadah di sekitar daerah Saratok.




