PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 16 Oktober ini bagi membincangkan beberapa tarikh penting serta urusan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, mesyuarat itu diadakan susulan penerimaan pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya semalam mengenai pembubaran DUN Sabah Ke-16.
“Sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 21 Fasal (4) Perlembagaan Negeri Sabah, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran terbabit,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli DUN yang dilantik.
Pada pilihan raya ke-16 pada 2020, PRU Sabah menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ketika itu berada dalam gabungan Perikatan Nasional bersama Barisan Nasional (BN) dan PBS serta sokongan Ahli DUN bebas, berjaya membentuk kerajaan Sabah apabila memperoleh 41 daripada 73 kerusi dipertandingkan.
Sementara Parti Warisan pula, memperoleh 23 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi sembilan kerusi.
GRS didaftarkan secara rasmi pada Mac 2022 dianggotai Bersatu, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP). Tiada penyertaan BN dan Pas dalam GRS.
Bagaimanapun, pada November tahun sama, Hajiji dan pemimpin Bersatu telah bertindak keluar daripada parti tersebut seterusnya menubuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), sebelum Bersatu kemudiannya digugurkan daripada GRS.
Manakala pada Januari 2023, BN telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan Sabah yang ketika itu dipimpin GRS.
Namun, PH mengambil keputusan untuk menyokong Kerajaan Negeri seterusnya mengekalkan kerajaan Sabah sedia ada dan Hajiji sebagai Ketua Menteri.






