
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyertai Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 8 malam esok.
Perdana Menteri berkata, himpunan itu bagi menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin bersama wira dan wirawati yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), baru-baru ini.
“Saya yakin dan percaya bahawa dalam denyut nadi setiap anak Malaysia, tersemat tekad untuk terus memperjuangkan keadilan dan keamanan sejagat.
“Marilah kita berganding bahu dan bergerak sederap, mengangkat suara demi Palestin yang merdeka, bermaruah dan berdaulat. Ketemu esok malam, insya-Allah,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, media hari ini memaklumkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF dijangka tiba di tanah air jam 10 malam ini.
Khamis lalu, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.








