
TAWAU – Rakyat Malaysia khususnya di Bahagian Tawau yang kini dapat menikmati BUDI MADANI RON95 memuji inisiatif kerajaan yang disifatkan melindungi hak rakyat tempatan sekali gus mengelakkan ketirisan subsidi.
Seorang pengguna di Merotai, Paul, 34, berkata, penyaluran subsidi ini amat membantu setiap rakyat negara ini dengan manfaat 300 liter yang amat mencukupi untuk kegunaan harian.
“Ini amat bagus kerana subsidi ini betul-betul disalurkan kepada rakyat dan dapat dikawal daripada orang luar yang bukan tempatan,” katanya di Tawau.

Bagi seorang jurujual, Razilah Ismail, 33, bantuan ini perlu diteruskan khusus kepada individu memiliki kad pengenalan dan lesen memandu kenderaan sah tempoh kerana keperluan pergerakan kenderaan ke tempat kerja.
Nastashia, 39, dari Semporna juga berharap agar inisiatif kerajaan ini dikekalkan selain membanteras penyelewengan minyak khas untuk warganegara diperoleh warga asing.
“Ini sangat membantu rakyat dan meringankan beban terutama B40 kerana ia lebih murah RM1.99 sahaja berbanding harga runcit RM2.60.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana wujudkan inisiatif ini,” ujarnya.

Mohd Bakri, 43, yang berasal dari Kampung Silam pula berharap agar inisiatif subsidi minyak kenderaan juga diperluas kepada pengguna minyak diesel kerana berpendapat harga minyak diesel semakin meningkat.
Sementara itu, tinjauan wartawan The Malaysia Press di Petronas Batu 8 Silam juga mendapati pengguna turut memanfaatkan subsidi terbabit termasuk mereka yang memandu untuk ke luar daerah.
Malah, terdapat juga pengguna keliru mendakwa 300 liter berkenaan terdapat dalam Kad Pengenalan seperti MYKASIH selain harga terpampang pada skrin berbeza dengan yang terdapat dalam resit.
Bagaimanapun, perkara itu telah diberi penerangan oleh pihak Petronas Batu 8 selain menawarkan perkhidmatan membantu pengguna memuat turun serta memberi penjelasan tentang aplikasi Setel yang lebih mudah dan praktikal.

