
KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI memberi jaminan sistem digunakan bagi pelaksanaan subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) adalah selamat digunakan dan bebas daripada sebarang ancaman siber.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kelemahan terbabit bagi kaedah subsidi RON95 telah dikaji secara terperinci dan mendalam bagi menentukan keberkesanannya dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku.
“Apa yang kita telah laksanakan ialah sistem yang mengambil kira kemungkinan tertentu. Ia selamat untuk diteruskan buat masa ini dan ini adalah aspek yang telah dilihat secara teliti.
“Fokus dan keutamaan yang diberikan oleh Perdana Menteri dalam semua aspek pendigitalan adalah keselamatan. Oleh itu, sama juga dengan BUDI95, aspek keselamatan telah diberikan perhatian secara khusus dan sistem sedia ada bersedia untuk semua kemungkinan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan pembukaan Cyber Digital Services, Defence and Security Asia Exhibition and Conference (CyberDSA 2025) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), pada Selasa.

Sementara itu, Gobind memaklumkan, pihaknya juga dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Digital Negara juga telah merangka Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data 2026–2030.
“Strategi yang dijangka akan dilancarkan menjelang akhir tahun ini akan menggariskan aspek pengukuhan keselamatan siber dan membina keyakinan pengguna siber bagi tempoh 2026-2030.
“Saya harap kita dapat melancarkan dokumen tersebut sebelum akhir tahun ini supaya gerak kerja kita ke hadapan terutamanya dalam aspek membina kepercayaan digital dapat dilihat, difahami dan dilaksanakan,” katanya.
Pada Selasa, kira-kira 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Semua rakyat yang layak menerima siling bulanan RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan. Penetapan berkenaan adalah berdasarkan dapatan kajian oleh Jabatan Perangkaan (DOSM).
Peringkat ketiga pelaksanaan BUDI95 ini menyusul kejayaan peringkat pertama pada 27 September lalu membabitkan kira-kira 300,000 anggota polis dan tentera.
Peringkat kedua kelmarin pula membabitkan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada golongan B40.


