
PEMIMPIN akar umbi Bersatu menggesa pucuk pimpinan parti itu mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang telah bertindak mencemarkan maruah dan perjuangan parti.
Ketua Bahagian Bersatu Tasek Gelugor, Azmi Alang berkata, tingkah laku Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) itu hanya menjadi beban kepada parti, mengalihkan perhatian daripada isu-isu rakyat yang jauh lebih penting.
Jelasnya, rakyat melihat beliau lebih sibuk mencetuskan sensasi daripada menawarkan sebarang cadangan bernas dan keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia merugikan kita dalam jangka masa panjang.
“Kita mesti berani membuat keputusan yang tepat, walaupun pahit. Pemimpin yang gagal menunjukkan akhlak, disiplin dan kesetiaan kepada perjuangan bukan sahaja melemahkan semangat akar umbi, malah memberi peluru kepada pihak lawan untuk menyerang kita.
“Demi kelangsungan parti dan keyakinan rakyat, tindakan tegas termasuk pemecatan adalah satu-satunya jalan keluar.
“Rakyat sedang menilai. Jika kita gagal bertindak, parti akan dilihat lemah dan berkompromi dengan kelakuan tidak bermoral yang merosakkan perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Terdahulu, Wan Saiful dalam sidang medianya semalam mendedahkan bahawa hubungannya dengan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dingin selepas video intim bekas menteri Kabinet itu di Sandakan disahkan tulen.
Wan Saiful mendakwa disebabkan keadaan itu beliau sering menjadi sasaran ADUN Hulu Kelang yang telah mengugut beberapa ketua bahagian berhubung isu akuan bersumpah (SD).
Beliau juga mendakwa isu SD tiada kaitan dengan sebarang usaha untuk menjatuhkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sidang media itu mendedahkan bahawa Wan Saiful individu yang mengutip SD untuk mendesak Muhyiddin berundur dan menyerahkan jawatan Presiden kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin atau mengangkatnya menjadi pemangku presiden.
“Setiap aduan disiplin lazimnya disertakan dengan bukti-bukti dan saksi-saksi terhadap pelanggaran disiplin tersebut.
“Tempat terbaik untuk membersihkan diri dan mengemukakan bukti-bukti berkaitan aduan tersebut adalah di hadapan Lembaga Disiplin, bukan dalam sidang media,” katanya dalam kenyataan.





