KUANTAN – “Kalau ada duit, esok juga saya nak teruskan rawatan, tapi saya cuma mampu berharap ada yang sudi bantu.”
Demikian luahan Mohd Ridzuan Mohd Rashid, 53, yang kini berdepan ujian berat selepas disahkan menghidap kanser lidah tahap empat sejak 2023.
Bekas jurutera itu berkata, dia memerlukan kira-kira RM100,000 untuk menjalani rawatan segera di hospital pakar bagi merawat penyakit berkenaan.
“Doktor cakap kos rawatan sekitar RM100,000 dan jumlah itu di luar kemampuan saya dan keluarga.
“Jadi, saya berharap ada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan bagi memudahkan saya menjalani rawatan kanser ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Indera Mahkota 15, dekat sini, hari ini.
Bercerita mengenai penyakit dialaminya, Mohd Ridzuan berkata, semuanya bermula dengan benjolan kecil pada pangkal leher kira-kira tiga tahun lalu.
Katanya, pemeriksaan awal di klinik dengan memberikan ubat antibiotik untuk kurangkan kesan benjolan itu.
“Namun, selepas pemeriksaan lanjut di hospital, saya disahkan menghidap kanser lidah tapi ketika itu masih di tahap 1,” ujarnya.
Bapa kepada tiga anak itu memaklumkan, isterinya, Rina Zainal Abidin, 52, pula terpaksa mengambil cuti tanpa rekod untuk menjaganya sejak kanser yang dihidapinya mencapai tahap 4.
“Mujur isteri ada pendapatan, jadi sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami.
“Dua anak kami sudah bekerja, yang bongsu kini berada di Tingkatan empat
“Untuk rawatan sebelum ini, bagi sesi kemoterapi dan radioterapi saja, kami sudah membelanjakan hampir RM20,000,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata, pusat Khidmatnya dengan kerjasama komuniti setempat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung sedang menggerakkan usaha mengumpul dana bagi membantu Mohd Ridzuan dan keluarga.
“Kami berharap sumbangan yang dikumpul mencukupi bagi membolehkan beliau menjalani prosedur rawatan yang diperlukan,” katanya selepas mengunjungi kediaman keluarga itu.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 06001-41-10010085-6 atas nama Mohd Ridzuan.




