
KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan ada penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak, sesuatu yang dituntut sejak termeterainya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, selepas lebih 60 tahun perbincangan berhubung perkara itu, tahun ini merekodkan jumlah kelulusan tertinggi berkaitan tuntutan MA63, termasuk penambahan kerusi bagi kedua-dua negeri berkenaan.
“Baru-baru ini kita mesyuarat di Kuching dan dibincangkan tentang cadangan menambah kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
“Sejak 1963 itu yang diminta tiap tahun. Dalam mesyuarat itu saya umumkan khabar baik. Ini dalam pilihan raya, dengar baik-baik siapa yang janji memang daripada dulu nak tambah kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, siapa yang luluskan?
“Perdana Menteri sekarang luluskan penambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Himpunan Temu Rapat Umum Sempena 27 Tahun Reformasi bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Kampung Kobuni Inanam, di sini, pada Jumaat.
Dalam ucapannya, Anwar turut menekankan kepentingan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat menikmati pembangunan serta kemudahan infrastruktur yang lebih baik.
“Negeri mesti baik dengan persekutuan melainkan persekutuan itu jahat, dia datang sini minta balak tetapi ini tidak.
“Kalau Kerajaan Negeri itu sama pakat dengan Kerajaan Persekutuan apa faedah kepada rakyat?
“Senang, boleh bicara, apa projek perlu, apa keutamaan saya dengar,” katanya.




