
YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku.
Dalam pertemuan itu, Seri Paduka Baginda dipersembahkan taklimat mengenai pelbagai isu semasa, termasuk pelaksanaan Inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) serta persiapan negara menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang akan berlangsung di ibu negara bulan depan.
“Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan mengenai pelaksanaan Inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) serta persiapan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada bulan depan,” menurut hantaran di Facebook rasmi.
Pada Isnin lalu, Perdana Menteri mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi di bawah inisiatif berkenaan.
Menurut Kementerian Kewangan, sistem BUDI95 akan dibuka secara berperingkat, bermula 27 September kepada 300,000 anggota tentera dan polis, diikuti penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September, sebelum diperluaskan pada 30 September kepada 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif.
Sementara itu, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober ini dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Sidang kemuncak tersebut dijangka menghimpunkan pemimpin daripada 10 negara anggota ASEAN bersama rakan dialog dari seluruh dunia.








