TELUK INTAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun ditemukan lemas awal pagi Rabu selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah parit di Jalan Chenderong Balai, Labu Kubong, di sini, petang semalam.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada jam 12.23 tengah malam.
Difahamkan kejadian terbabit berlaku sekitar jam 5 hingga 6 petang pada Selasa.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan segera dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat tersebut.
“Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam parit sedalam kira-kira dua meter sekitar jam 5 hingga 6 petang semalam.
“Penduduk kampung telah berusaha mencari namun gagal menemui sebarang petunjuk,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, ketua operasi menjalankan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota memfokuskan pencarian di kawasan tali air berhampiran.
“Hasil operasi menemukan kanak-kanak itu di dasar air pada jarak kira-kira 800 meter dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.
“Mangsa kemudian dibawa ke tempat selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Operasi mencari dan menyelamat itu tamat sepenuhnya pada jam 4.10 pagi.






