
POLIS digesa segera bertindak dan mengambil tindakan tegas berhubung kejadian kekerasan fizikal melibatkan sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang videonya tular di media sosial.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semua pelaku dalam insiden itu perlu didakwa supaya menjadi pengajaran penting kepada pihak lain.
Beliau menegaskan, tindakan bergurau secara melampau juga adalah kes buli dan tidak boleh sesekali dikompromikan atau didiamkan atas alasan gurauan.
“Apakah kita hendak menunggu sehingga kecederaan kekal mahupun kematian baru hendak bertindak?
“Harap pihak polis segera bertindak dengan tegas. Semua pelaku juga wajib didakwa agar menjadi pengajaran penting buat semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, pada Selasa.
Menerusi hantaran sama, Asyraf Wajdi turut berkongsi video kejadian melibatkan sekumpulan pelajar yang melakukan kekerasan fizikal kepada seorang pelajar lain dengan cara menghayunkan tubuh mangsa sehingga terkena pada tiang besi papan tanda.

Dipercayai video yang dikongsi itu merujuk kepada kes buli membabitkan pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Miri.
Lebih mengejutkan, kelihatan beberapa lagi pelajar yang berada berhampiran kejadian hanya menjadi penonton dan ketawa tanpa cuba menghalang perbuatan itu.
Susulan video yang tular itu juga, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semalam memaklumkan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelajar berkenaan yang merupakan penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Miri, Sarawak.
KBS menerusi kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati insiden itu berlaku pada pukul 4.30 petang, 19 September lalu, namun laporan diterima semalam.
Kementerian itu berkata, pelaku buli sama ada akan digantung atau dibuang dari institut berkenaan susulan kejadian yang ditularkan dalam sebuah video.






