
KOTA BELUD – Seramai sembilan mangsa terlibat kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan iaitu Toyota Hilux, Toyota Avanza dan Isuzu D-Max berlaku di Jalan Kampung (Kg) Pandasan, di sini, petang Ahad.
Menurut Pegawai Bomba Kanan, Suffian Aban, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 diterima pada pukul 2.37 petang.
“Kejadian itu melibatkan sembilan mangsa, di mana lapan daripadanya berjaya keluar sendiri manakala seorang mangsa tersepit di dalam Toyota Avanza.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan memotong bahagian pintu menggunakan peralatan ‘rescue tools’ dan memberi rawatan awal kepada mangsa.
“Dua orang mangsa diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala dua mangsa lagi dibawa oleh jentera EMRS bomba ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Suffian berkata, mangsa lain hanya mengalami kecederaan ringan.
Jelasnya, empat mangsa yang mengalami kecederaan tersebut dua perempuan berumur 35 dan 56, manakala dua lelaki tersebut berumur 18 dan 61 tahun.
“Operasi ditamatkan pada pukul 3.50 petang setelah bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” katanya.






