
PAPAR – Mangsa terakhir kejadian tanah runtuh di Kampung (Kg) Marahang Tuntul, di sini, berjaya ditemukan pada pukul 8.45 malam Isnin, menjadikan keseluruhan tiga mangsa maut termasuk dua kanak-kanak.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.20 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dikejarkan ke lokasi kejadian, kira-kira 13 kilometer dari balai.
Katanya, operasi menemukan mangsa pertama dijalankan pada pukul 4.20 petang, diikuti mangsa kedua lima minit kemudian, sebelum mangsa ketiga dijumpai pada pukul 8.45 malam.
“Operasi mengeluarkan mangsa dilaksanakan dengan bantuan pasukan penyelamat lain.
“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media pada pagi Selasa.

Beliau berkata, mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 34 tahun, seorang kanak-kanak lelaki enam tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.
Kesemua mangsa telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.05 pagi Selasa.





