
KOTA KINABALU – Seramai 13 mangsa disahkan terkorban dalam bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda Sabah sejak minggu lalu, menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah setakat pukul 8 pagi, Selasa.
Seramai 2,527 penduduk daripada 667 keluarga kini ditempatkan di 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah yang terjejas.

Antara lokasi tanah runtuh yang meragut nyawa termasuk di Sarapung, Penampang; Kampung (Kg) Marahang, Papar; Kg Mook, Papar; dan Cenderakasih, Kota Kinabalu.
Penampang merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 958 orang daripada 239 keluarga, diikuti Membakut (611 orang, 172 keluarga), Beaufort (273 orang, 83 keluarga), Putatan (456 orang, 113 keluarga), Papar (170 orang, 49 keluarga) dan Tawau (59 orang, 11 keluarga).
Selain itu, sebanyak 96 kampung dikenal pasti terjejas dengan Beaufort dan Penampang mencatatkan peningkatan mendadak masing-masing melibatkan 46 dan 24 kampung.
JPBN memaklumkan data di PPS dijangka terus meningkat berikutan pertambahan mangsa yang dipindahkan, manakala pasukan penyelamat masih giat meneruskan operasi pemantauan, penyelamatan dan penghantaran bantuan di kawasan bencana.






