
KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner pada Rabu mendengar keterangan saksi keenam, pengawal keselamatan sekolah, Linah Mansindong@Jaliha.
Linah, 65, yang berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar sejak 2012 berkata, dia menemukan Zara selepas dimaklumkan oleh seorang pelajar kira-kira pukul 3 pagi, 16 Julai lalu.
“Saya dimaklumkan ada seorang pelajar perempuan pengsan di longkang asrama.
“Saya bergegas ke lokasi dan melihat seorang pelajar dikenali sebagai Zara terlentang dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Saya kemudian menghubungi Ketua Warden Asrama, Ustaz Azhari, mengenai kejadian itu,” katanya ketika membaca kenyataan saksi di hadapan Koroner, Amir Shah Amir Hassan.
Kemudian peguam yang mewakili ibu arwah, Shahlan Jufri meminta Linah untuk menjelaskan cara pelajar berkenaan memaklumkan kepada dia.
“Pelajar itu panggil saya, ‘aunty, aunty ada budak pengsan’.
“Saya tanya bilik mana, dia jawab bukan bilik, mari ikut saya. Jadi saya ikut dan nampak Zara terlentang,” katanya.
Semasa ditanya oleh Shahlan berkenan sama ada melihat kecederaan yang ada pada arwah, Linah turut memberitahu, kecederaan yang kelihatan pada arwah ketika itu adalah di bahagian tengkuk serta kaki yang berdarah.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, dia ada menghampiri Zara dan pada awalnya mahu menyentuh tubuh pelajar itu, namun merasa takut untuk berbuat demikian.
Linah berkata, dia mengambil sekeping gambar keadaan Zara sebelum Ketua Warden tiba di lokasi.
Katanya lagi, ambulans sampai sekitar pukul 4 pagi dan mangsa segera dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan kecemasan.
“Setahu saya, tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di blok asrama.
“Tiada juga palang besi dipasang di koridor bangunan asrama tersebut,” katanya.
Menurutnya, dia bertugas pukul 8 malam pada 15 Julai hingga 8 pagi keesokannya, dan sebelum kejadian sempat membuat rondaan di asrama tetapi tidak menemui sebarang perkara mencurigakan.






