KUANTAN – Usaha memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di daerah ini terus dipergiat melalui kerjasama antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan dan Wanita Inspirasi Kuantan (WINK).
Satu perjumpaan khas diadakan di PPD Kuantan untuk membincangkan hala tuju pemerkasaan STEM serta penganjuran STEM Camp MOSTI 2025.
Program itu akan melibatkan sekolah menengah dan rendah di seluruh daerah ini.
Pengerusi WINK, Sridayu Samsuri berkata, inisiatif ini adalah bagi menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan jumlah penyertaan pelajar dalam aliran sains.
“Usaha ini amat penting untuk memenuhi keperluan pembangunan negara,” jelas Sridayu, yang juga Ketua Wanita PKR Pahang.
![]()
Perjumpaan itu turut dihadiri Pengarah STEM Camp MOSTI 2025, Fakhrul Anuar Zulkawi.
Sementara itu, Pegawai PPD Kuantan, Shaiful Azizi Shukri Mohd Kassim memaklumkan pihaknya menyambut baik sumbangan WINK dan badan bukan kerajaan (NGO) lain dalam memacu perkembangan STEM di daerah ini.
“Sumbangan ini pastinya akan meningkatkan minat dan memupuk bakat pelajar kita dalam menguasai Matematik dan Sains,” jelasnya.
Katanya, daerah Kuantan mempunyai 140 sekolah, yang terdiri daripada 50 sekolah menengah dan 90 sekolah rendah.
Difahamkan, program itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Fakhrul Anuar berkata program kali ini adalah penganjuran kedua selepas kejayaan program yang sama pada tahun lalu.





