
SANDAKAN – Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting, Datuk Chew Kok Woh membuat laporan polis berhubung ucapan seorang pelajar perempuan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dikenali sebagai Aliefah ketika menghadiri program Himpunan Solidariti Rakyat #JusticeForZara anjuran Ikatan Anak Muda Tawau (IKAT) di Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT), pada Isnin.
Chew berkata, walaupun beliau tidak hadir ke program berkenaan, namun telah menonton rakaman video berdurasi 42 saat yang tular di media sosial memaparkan ucapan pelajar tersebut.
“Dalam rakaman itu, individu berkenaan menyeru peserta himpunan dengan menyatakan, ‘setuju atau tidak kalau saya katakan Kerajaan MADANI telah gagal, setuju atau tidak MADANI harus turun, setuju atau tidak Musa Aman patut dibakar’,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, ucapan berkenaan bersifat menghina, berunsur hasutan, menimbulkan kebencian serta boleh menggugat keselamatan peribadi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
“Kenyataan itu jelas melampaui batas kebebasan bersuara, berpotensi menimbulkan provokasi, salah faham dan ancaman keselamatan terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Saya berpandangan ucapan sebegini juga menyentuh sensitiviti awam serta boleh dianggap setara dengan kesalahan 3R (agama, kaum, institusi diraja) kerana menyemarakkan kebencian terhadap tokoh tertentu sekali gus mencetuskan ketidakstabilan sosial dan politik di Sabah,” katanya.
Chew menegaskan laporan polis itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya serta mengelakkan perkara sama berulang pada masa akan datang.





