
SRI AMAN – Pesta Pantu 2025 dijangka menjadi pemangkin ekonomi luar bandar dan tarikan pelancongan baharu apabila memberi peluang kepada usahawan kecil, belia serta komuniti setempat memasarkan produk dan mengetengahkan keunikan daerah berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, pesta itu bukan sahaja menonjolkan budaya dan tradisi masyarakat, malah membuka ruang keusahawanan yang memberi limpahan ekonomi jangka panjang.
“Pesta Pantu diharap menjadi platform penerokaan peluang perniagaan dan tarikan budaya yang mampu mengangkat imej Sri Aman dalam sektor pelancongan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh pada Majlis Pra-Pembukaan Pesta Pantu 2025 di Dewan Sri Pantu, pada Jumaat.
Beliau menambah, kerajaan Sarawak turut merangka pelan bagi menjadikan pesta itu sebagai salah satu acara rasmi dalam Kalendar Pelancongan Sarawak.
Sebelum ini, Pesta Pantu dikenali sebagai Pesta Ikan Tapah, namun penjenamaan semula dilakukan bagi memperkukuh promosi dan identiti pesta.
Menurut Mong, perubahan nama itu selari dengan fokus baharu yang lebih menekankan aspek budaya, sukan dan hiburan masyarakat, berbanding ikan Tapah yang kini jarang ditemui di Batang Strap akibat aktiviti memancing berlebihan dan pencemaran.
“Walaupun berskala kecil, dengan pengiktirafan dan pengisian program yang lebih besar, Pesta Pantu berpotensi mengubah wajah pekan ini sebagai destinasi baharu pelancongan,” katanya.
Acara dimulakan dengan pelancaran Zumba @ Senamrobik serta Fun Walk Merdeka yang disertai 30 kontinjen melibatkan tujuh agensi kerajaan dan 23 wakil komuniti.
Pesta selama empat hari itu akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk pelbagai pertandingan, persembahan kebudayaan, sukan tradisional, ratu etnik serta hiburan rakyat.
Majlis pra-pembukaan telah disempurnakan oleh Mahra Salleh bersama Pegawai Daerah Pantu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Pantu 2025, Raca Mulong, bersama Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang; Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani dan ketua-ketua masyarakat setempat.
Foto: Pejabat Penerangan Daerah Sri Aman






