BALIK PULAU – Guru lelaki yang bertindak mengelar leher isterinya dengan sebilah pisau, pagi tadi tidak mempunyai sebarang rekod lampau membabitkan kes pergaduhan dengan pasangannya sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, malah hubungan pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 30 dan 28 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan baik sehingga malam tadi, sebelum kejadian berlaku pagi ini.
“Tidak ada rekod lampau (kes gaduh suami isteri). Semua baik-baik (hubungan pasangan terbabit sehingga malam tadi). Maklumat daripada saksi pun mengatakan pasangan ini merupakan pasangan yang harmoni.
“Kita masih lagi dan akan mencari maklumat-maklumat yang terbaru bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi tadi, seorang guru wanita dilaporkan cedera dipercayai akibat dikelar suami menggunakan sebilah pisau sebelum lelaki itu nekad mengelar dirinya sendiri menggunakan senjata sama, yang diambil dari dapur.
Insiden tersebut disedari ibu mangsa yang terdengar jeritan anak perempuannya dari bilik atas kediaman dua tingkat di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas. Suspek dikatakan bertindak menindih isterinya di atas katil sebelum cuba mengelar leher wanita itu.
Mangsa sempat ditarik ibunya dan dibawa keluar dari bilik tidur manakala suspek pula bertindak mengelar lehernya sendiri dan pergelangan tangan kiri.
End.



