
KOTA KINABALU – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor memberi jaminan
bahawa Kerajaan Negeri Sabah sentiasa teguh untuk memberikan keadilan dan ketelusan, serta memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama mereka.
“Komitmen berterusan kita dalam menyokong pendidikan dan organisasi bukan berasaskan agama tetap teguh demi memupuk perpaduan, keharmonian dan toleransi,” katanya menerusi ucapan yang dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir pada program Walk for Jesus–Hope 2025 di Padang Merdeka, di sini, pada Ahad.
Program dwitahunan anjuran Majlis Gereja Sabah bersama kumpulan inter-gereja tempatan dan Persatuan Fellowship Penjara Sabah (PFSA) itu disifatkan sebagai bukti semangat bersatu dalam komuniti Kristian di Kota Kinabalu dan sekitarnya.
“Perarakan Walk for Jesus secara serentak di 26 bandar di Sabah menggambarkan perpaduan dalam doa dan tujuan.
“Perjalanan penuh makna ini mencerminkan ketakwaan penganut Kristian serta kekuatan sokongan bersama yang melampaui batasan fizikal,” katanya.
Beliau dalam pada itu berharap acara tersebut membawa keberkatan kepada rakyat Sabah sambil melambangkan kasih sayang Gereja yang merentasi kaum, bangsa dan kepercayaan.
“Inisiatif seperti ini pasti memberi inspirasi kepada kepercayaan, perpaduan dan semangat muhibah dalam masyarakat kita,” ujarnya.




