SEMUA peguam mewakili lima remaja yang didakwa membuli Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memberikan khidmat pembelaan kepada tertuduh secara pro bono (percuma).
Tanpa mendedahkan identiti atau status tertuduh, Datuk Ram Singh menegaskan bahawa anak guamnya bukanlah anak kepada mana-mana individu ternama atau VVIP.
“Anak guam kami bukan anak VVIP, sebaliknya seorang remaja yang juga berhak mendapat pembelaan di sisi undang-undang.
“Kami didekati oleh keluarga untuk mendapatkan bantuan guaman dan bersama peguam lain, kami mewakili mereka secara pro bono,” katanya ketika ditemui NST sebelum prosiding di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak bermula pagi tadi.
Pro bono merujuk kepada perkhidmatan diberikan secara percuma oleh peguam kepada individu atau organisasi yang tidak mampu membayar yuran guaman.
Ram bersama Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang daripada lima tertuduh.
Empat lagi tertuduh diwakili peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan.
Mereka juga menegaskan bahawa anak guam masing-masing bukan daripada keluarga VVIP.
Menurut Azhier, tertuduh diwakilinya berhak diberi peluang mengemukakan keterangan bagi menyokong pembelaan.
“Anak guam kami berhak mendapat perlindungan yang dijamin undang-undang, termasuk hak mengemukakan bukti dan keterangan di mahkamah,” katanya.
Terdahulu, lima remaja berkenaan didakwa di Mahkamah Juvana di Kota Kinabalu, Sabah, atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap terhadap Allahyarhamah Zara Qairina.
Semua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah.






