
KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bakal berdepan pertuduhan di mahkamah atas kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, “Akmal Saleh”, yang didakwa mengganggu ketenteraman awam.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya akan mendakwa Akmal di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [Akta 574] kerana membuat kenyataan yang boleh menimbulkan ketidakharmonian kaum.
Bagaimanapun, AGC tidak memperincikan kandungan kenyataan yang dimaksudkan.
Menerusi satu video di Facebook, Akmal berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak polis bahawa beliau akan didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Jumaat ini, pukul 8 pagi.
Menurutnya, beliau akan memendekkan perjalanan umrahnya ke Makkah, yang baru sahaja dimulakan semalam, untuk pulang menghadapi pertuduhan tersebut.
Sebelum ini, polis telah membuka siasatan terhadap sebuah video tular memaparkan Akmal membuat kenyataan yang didakwa berunsur kebencian dan boleh mengganggu ketenteraman awam.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan video yang manakah menjadi subjek siasatan.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Akmal ada memuat naik video mengenai insiden Jalur Gemilang yang dikibarkan secara terbalik di sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang.
Dalam salah satu videonya, Akmal memberi amaran bahawa pihak pendakwaan mempunyai tempoh dua hari untuk mendakwa pemilik kedai tersebut.

Selain Akmal, AGC turut mengesahkan Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham, akan didakwa di bawah peruntukan sama berhubung kenyataan yang dimuat naik dalam sebuah video di akaun TikTok “alfah.channel.tv”.
Terdahulu, Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid, memaklumkan bahawa Hilman dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok berhubung ucapannya ketika berhimpun di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bulan lalu.
Dalam kenyataan yang sama, AGC turut memutuskan untuk mendakwa seorang wanita, Siti Hajar Aflah Sharuddin, di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, manakala S Chandrasegaran akan dituduh di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memuat naik kandungan berbaur penghinaan di media sosial.
“Semua pertuduhan akan dibawa ke Mahkamah Majistret yang mempunyai bidang kuasa setempat dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.



