KUANTAN – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengulangi pendiriannya agar adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaksanakan segera tanpa perlu melalui perbicaraan lanjut.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, sejak awal beliau bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kewujudan adendum itu dan ia juga disahkan oleh mahkamah minggu lalu.
“Dari awal lagi, saya bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa adendum itu memang wujud.
“Sebab itu kami berdua membuat afidavit. Minggu lepas, mahkamah sudah memutuskan 3-0 bahawa adendum itu wujud.
“Bagi kita, kita ingin Datuk Seri Najib mendapat pengadilan sewajarnya. Itulah kehendak dan hasrat kita dan kita harap ia dapat diselesaikan.
“Saya juga telah lama menyatakan pendirian bahawa adendum ini perlu dilaksanakan segera,” ujarnya ketika ditemui selepas Program Larian Tok Gajah Kuala Lumpur Edisi 2025 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pagi tadi.
Wan Rosdy menjelaskan, pelaksanaan adendum akan memberi semangat tambahan kepada ahli UMNO untuk terus berjuang, khususnya selepas isu berkenaan terbukti mempunyai asas.
“Kalau boleh, tidak perlu dibicarakan lagi kerana ia memang telah wujud. Sudah pastinya, sekiranya cerita adendum ini dilaksanakan, ia akan memberi semangat yang lebih kepada ahli UMNO untuk terus berjuang,” katanya.





