
OLEH: HAZIQ AZHAR, NANA MOHAMAD, HELDA JULIE, MOHAMMAD FIKRI JAMAL
KUCHING – Cadangan kerajaan untuk memperkenalkan pembayaran pencen bulanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendapat reaksi positif dalam kalangan rakyat, selari dengan usaha memperkukuh jaminan sosial selepas bersara menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menerusi laporan Kementerian Ekonomi, mekanisme baharu ini bakal membolehkan caruman KWSP diasingkan kepada dua komponen iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan.
Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada pekerja apabila mereka berpeluang mengeluarkan sebahagian simpanan, selain menerima bayaran bulanan apabila bersara kelak.
Pada masa sama, kerajaan turut komited memperkukuh perlindungan sosial bagi memastikan kebajikan pekerja lebih terjamin, termasuk perlindungan terhadap risiko kehilangan pekerjaan, kemalangan dan bencana pekerjaan di luar waktu bekerja.
Perkhidmatan rehabilitasi serta pemulihan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga bakal diperluaskan agar pekerja yang terlibat kemalangan dapat kembali bekerja dengan selamat.
Bagi pekerja sektor gig, kerajaan akan menggubal undang-undang khusus demi memastikan kebajikan mereka terus dilindungi, termasuk hak kepada persekitaran kerja yang selamat, sihat dan caruman KWSP serta Perkeso.
Majoriti setuju dengan inisiatif kerajaan
Tinjauan The Malaysia Press mendapati kebanyakan rakyat menyokong cadangan kerajaan ini yang disifatkan mampu memberi jaminan pendapatan dan keselamatan kewangan pada usia persaraan.

Daisy Yankim, 33, berkata, pembayaran pencen secara bulanan dapat membantu mengurus kewangan selepas bersara dan mengurangkan risiko penyalahgunaan simpanan.
“Saya percaya pencen bulanan lebih teratur, namun kerajaan perlu memastikan hak pencarum tetap dijaga dengan memberi pilihan yang fleksibel,” katanya.

Sementara itu, Nur Hazirah Shukur, 31, pekerja swasta, turut menyokong usaha ini kerana ia mampu mengelakkan golongan warga emas daripada menjadi mangsa penipuan kewangan dan scammer.
“Pembayaran bulanan memastikan wang pencarum lebih selamat dan menjamin aliran tunai yang berterusan selepas bersara. Cuma kerajaan perlu mengambil kira suara pencarum supaya mereka boleh memilih sama ada bayaran bulanan, sekaligus atau gabungan kedua-duanya,” ujarnya.

Syazwana Ahmad, 36, pula berpendapat, mekanisme baharu ini sangat membantu pekerja sektor swasta yang tidak menikmati pencen seperti penjawat awam.
“Cadangan ini amat baik. Namun saya harap pencarum diberikan pilihan kerana keperluan setiap individu berbeza. Pencen bulanan pasti membantu meringankan beban pada hari tua,” katanya.

Bagi Claudia Juri, seorang peniaga, usaha kerajaan memperluas perlindungan kepada pekerja gig juga amat dialu-alukan agar kumpulan itu turut mendapat manfaat KWSP dan Perkeso.
Secara keseluruhan, majoriti responden menyambut baik usaha kerajaan namun berharap supaya dasar ini dilaksanakan dengan fleksibel dan mengambil kira keperluan sebenar rakyat pelbagai lapisan.
Kerajaan dijangka akan terus memperhalusi mekanisme terbaik sebelum pelaksanaan demi memastikan kesejahteraan semua pencarum KWSP di bawah RMK13.



