Tarif 19 peratus AS terhadap Malaysia dianggap positif dalam persaingan serantau

PENGURANGAN kadar tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport Malaysia kepada 19 peratus daripada kadar asal 25 peratus disifatkan sebagai pencapaian yang positif dan setara dengan negara jiran yang turut bersaing dalam pasaran eksport ke negara tersebut.

Menurut geostrategis, Prof Dr Azmi Hassan, dalam menilai langkah ini, penting untuk Malaysia membandingkan kadar tarif tersebut dengan negara-negara jiran yang merupakan pesaing utama dalam pasaran eksport ke AS, khususnya Vietnam, Indonesia dan Thailand.

“Vietnam dikenakan kadar 20 peratus, manakala Indonesia setara dengan kita pada kadar 19 peratus.

“Ini menunjukkan bahawa kita masih berada dalam kelompok tarif yang kompetitif dalam kalangan negara ASEAN,” katanya kepada The Malaysia Press pada Jumaat.

Amerika Syarikat (AS) hari ini secara rasmi mengumumkan penurunan kadar tarif ke atas barangan import dari Malaysia kepada 19 peratus, berbanding kadar asal 25 peratus yang telah diumumkan sebelum ini.

Penurunan kadar tarif tersebut adalah hasil daripada arahan eksekutif terbaharu yang ditandatangani oleh Presiden AS, Donald Trump.

Laman sesawang rasmi Rumah Putih semalam memuat naik dokumen pelarasan terkini kadar tarif balas yang ditandatangani pada 31 Julai 2025.

Arahan yang dimeterai itu meminda Perintah Eksekutif 14257, sekali gus menyusun semula struktur tarif balas terhadap beberapa rakan dagangan utama AS, termasuk kesemua negara anggota utama ASEAN.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, Singapura yang tidak termasuk dalam semakan tarif terbaharu dikenakan kadar asas sebanyak 10 peratus kerana mengalami defisit perdagangan dengan AS, menjadikannya tidak wajar dibandingkan secara langsung dengan negara pengeksport seperti Malaysia.

Dalam konteks lebihan dagangan pula, Vietnam mencatat angka yang sangat tinggi iaitu sekitar AS$120 bilion, manakala Malaysia dan Indonesia masing-masing mempunyai lebihan sekitar AS$20 bilion hingga AS$25 bilion.

Namun, pendekatan yang diambil oleh ketiga-tiga negara berbeza.

“Vietnam membuka pasaran domestiknya sepenuhnya kepada syarikat dan pelabur dari AS. Indonesia pula dilaporkan membeli sehingga 50 buah pesawat Boeing dan turut meningkatkan import tenaga daripada AS, yang sebelum ini diperoleh dari negara-negara Teluk,” katanya.

Bagi Malaysia, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menyatakan kesediaan untuk memberi sedikit kelonggaran dalam pensijilan halal dengan membenarkan AS meneliti syarat-syarat berkaitan.

Walaupun konsesi ini kelihatan kecil berbanding Vietnam dan Indonesia, Azmi menegaskan bahawa ia tetap membawa manfaat strategik.

“Daripada kadar 25 peratus turun kepada 19 peratus merupakan satu perkembangan yang positif.

“Yang penting, Malaysia kini berada dalam kategori yang sama dengan Indonesia dan hampir setara dengan Vietnam, dua pesaing utama Malaysia dalam sektor eksport, termasuk dalam komoditi utama seperti minyak sawit,” katanya lagi.

Namun begitu, beliau turut mengingatkan bahawa sehingga kini belum ada kejelasan mengenai keseluruhan bentuk keterbukaan atau konsesi yang diminta oleh AS kepada Malaysia sebagai syarat kepada pengurangan tarif ini.

“Kita masih belum tahu sepenuhnya apakah syarat yang diminta oleh Presiden Trump. Tetapi jika hanya melibatkan isu pensijilan halal, maka itu adalah sesuatu yang masih boleh kita kendalikan dan sudah memadai,” ujarnya.

Justeru, Azmi menegaskan bahawa penurunan tarif ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan produk Malaysia kekal berdaya saing dari segi harga dan kualiti di pasaran AS, terutamanya berbanding pesaing seperti Indonesia dan Vietnam.

Related Posts

Kemalangan ragut lima nyawa: Siasat segera, bawa pelaku ke muka pengadilan

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menggesa siasatan berhubung kemalangan maut di Simpang Renggam, Johor yang meragut lima nyawa disegerakan supaya tindakan pendakwaan dapat diambil terhadap pihak yang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Calon BN Johor akan dimuktamad selepas rundingan parti komponen – Zahid Hamidi

KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) sedang meneliti senarai calon yang dikemukakan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum keputusan muktamad dibuat.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kemalangan ragut lima nyawa: Siasat segera, bawa pelaku ke muka pengadilan

Kemalangan ragut lima nyawa: Siasat segera, bawa pelaku ke muka pengadilan

Calon BN Johor akan dimuktamad selepas rundingan parti komponen – Zahid Hamidi

Calon BN Johor akan dimuktamad selepas rundingan parti komponen – Zahid Hamidi

MB Johor maklum hasrat bubar DUN kepada Zahid

MB Johor maklum hasrat bubar DUN kepada Zahid

Rumah sewa dijadikan makmal proses ketum diserbu PGA

Rumah sewa dijadikan makmal proses ketum diserbu PGA

Pertemuan pemimpin PH Negeri Sembilan hanya mesyuarat biasa, bincang persediaan PRN

Pertemuan pemimpin PH Negeri Sembilan hanya mesyuarat biasa, bincang persediaan PRN

Pulau Pinang sukar laksana PRN, PRU serentak – Kon Yeow

Pulau Pinang sukar laksana PRN, PRU serentak – Kon Yeow