KUANTAN – Seorang penarik kereta maut manakala rakannya cedera selepas kenderaan mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 108, Jalan Kuantan-Segamat, dekat Muadzam Shah, Rompin, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Muhamad Helmi Mesouwir Sofet, 28, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah akibat kecederaan parah di kepala, tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, rakan mangsa – yang juga pemandu kereta – Zamzuri Mohamad, 38, cedera pada bahagian dada.
Menurutnya, dalam nahas itu, pemandu lori berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika kereta jenis Nissan Almera dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah menghala ke Segamat.
“Lori sawit jenis Isuzu tanpa muatan pula dari arah Segamat menghala ke stesen minyak berhampiran lokasi kejadian,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Sharif Shai berkata, ketika tiba di lokasi, pemandu lori dipercayai berhenti sebelum membelok ke kanan untuk masuk ke stesen minyak.
“Kereta dinaiki mangsa dari arah bertentangan gagal mengelak lalu terlanggar bahagian sisi lori itu.
“Mangsa yang berada di kerusi penumpang hadapan parah sebelum dihantar ke hospital dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” ujarnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.




