KOTA KINABALU – Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah 2025 akan berlangsung di Magellan Sutera Harbour di sini pada 1 Ogos ini, menggantikan lokasi asal di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, majlis tersebut akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan dijangka dihadiri barisan kepimpinan negeri, ketua-ketua jabatan serta pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
Jelasnya, antara acara kemuncak pelancaran adalah pelepasan Konvoi Kibar Jalur Gemilang yang akan diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan disertai 20 buah kenderaan melibatkan penyertaan daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia serta beberapa agensi lain.
“Konvoi ini akan bergerak merentasi seluruh negeri Sabah, meliputi semua daerah bermula dari 1 Ogos hingga 31 Ogos depan sebagai simbolik penyebaran semangat patriotisme dan cintakan negara.
“Ia juga bertujuan memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat majmuk negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata tiada sebarang penutupan jalan akan dilakukan semasa majlis pelancaran mahupun sepanjang perjalanan konvoi.
“Segala perjalanan akan diselaraskan dengan kerjasama pihak PDRM bagi memastikan kelancaran laluan dan keselamatan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Kasim berkata, kempen ini dijangka mendapat sambutan hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya di setiap lokasi persinggahan konvoi.
Oleh itu, penduduk setempat diseru untuk mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan dan kenderaan masing-masing sebagai tanda sokongan dan kecintaan kepada tanah air.
“Konvoi tersebut akan menamatkan jelajahnya pada 31 Ogos dengan acara kemuncak di Padang Merdeka, Kota Kinabalu bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah,” ujarnya.




