
BELADIN – Seramai 1,170 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro menerima bantuan tangki air menerusi Majlis Penyerahan Simbolik yang berlangsung di Dewan Al Amin, Beladin, Pusa pada Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata, pengagihan itu merupakan antara inisiatif kerajaan Sarawak dalam memperkasakan kemudahan asas di kawasan luar bandar bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Menjadi tanggungjawab kerajaan Sarawak untuk memastikan penduduk luar bandar tidak terpinggir daripada menikmati kemudahan asas.
Sumbangan tangki air ini diharap dapat memberi manfaat besar, khususnya dalam pengurusan bekalan air bersih,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan menyeluruh yang menekankan keseimbangan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Razaili turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi pelaksana yang terlibat menjayakan program itu, selain menyeru penerima agar memanfaatkan bantuan yang disediakan dengan sebaik mungkin.
Penduduk yang menerima bantuan berkenaan menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas keprihatinan kerajaan Sarawak dalam membela nasib komuniti luar bandar secara berterusan.






