Isthmus Run 2025 cipta sejarah: Lebih 5,800 sertai, perkenal marathon penuh bertaraf antarabangsa

KUCHING – Sarawak Energy Isthmus Run 2025 bakal mencatat sejarah tersendiri apabila edisi ke-10 penganjurannya pada 10 Ogos ini menyaksikan penyertaan tertinggi sejak diperkenalkan pada 2013, dengan lebih 5,800 pelari termasuk peserta antarabangsa dari 14 negara.

Acara tahunan anjuran Sarawak Energy itu dijadual berlangsung di Isthmus, Kuching dan menjadi antara platform utama mempromosi gaya hidup sihat, memupuk semangat komuniti serta mendukung usaha kelestarian, bertepatan dengan sambutan Hari Bandar Raya Kuching pada 1 Ogos lalu.

Antara negara yang menyertai edisi kali ini termasuk Australia, Singapura, Indonesia, China, Korea Selatan, Jepun, Belanda, Ethiopia dan Kenya.

Menariknya, acara kali ini turut memperkenalkan kategori baharu iaitu Marathon Penuh 42 kilometer (KM) yang buat pertama kali diperkenalkan dan menerima lebih 400 penyertaan. Tiga lagi kategori yang dipertandingkan ialah Separuh Marathon 21KM, Larian Kompetitif 10KM dan Larian Santai 5KM.

Buat julung kalinya, laluan Marathon Penuh dan Separuh Marathon telah diperakui oleh Association of International Marathons and Distance Races (AIMS), sekali gus menjadikan acara ini bertaraf antarabangsa.

Laluan larian akan membawa peserta menyusuri mercu tanda ikonik bandar raya ini termasuk Jambatan Darul Hana, Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, Muzium Budaya Borneo, patung kucing Kuching dan Tebingan Sungai Kuching.

Jumlah keseluruhan hadiah tunai yang ditawarkan mencecah RM185,500 meliputi semua kategori, dengan pemenang lelaki dan wanita bagi Marathon Penuh masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000.

Peserta turut berpeluang memenangi cabutan bertuah bernilai sehingga RM25,000, antaranya tiket penerbangan pergi balik ke Jepun atau Korea Selatan, iPhone 16 Pro dan televisyen pintar bersaiz 75 inci.

Selari dengan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sarawak Energy, 100 peratus kutipan yuran penyertaan akan disumbangkan kepada badan kebajikan. Pada tahun lalu, sejumlah RM180,000 berjaya disalurkan kepada organisasi terpilih.

Bagi menjamin kelancaran acara, penutupan penuh jalan dari Jambatan Sungai Isthmus ke Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) akan berkuat kuasa mulai jam 8 malam, Sabtu (9 Ogos) hingga 10 pagi, Ahad (10 Ogos).

Beberapa jalan utama di Kuching turut terlibat dengan penutupan separa termasuk Jalan Padungan, Jalan Satok, Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Astana, Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub dan Jalan Kulas.

Orang awam dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta petugas trafik sepanjang acara berlangsung.

Sarawak Energy turut menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma dari Hotel Riverside Majestic ke Menara Sarawak Energy, menggunakan gabungan bas elektrik dan bas sewa khas mengikut jadual pelepasan setiap kategori.

Maklumat lanjut mengenai acara, penutupan jalan dan penginapan boleh diperoleh di laman rasmi: www.sarawakenergyisthmusrun.com

Related Posts

Rangka dalam guni disahkan manusia, waris sedang dikesan

KANGAR – Polis mengesahkan rangka yang ditemukan dalam bungkusan guni di sebuah kebun berhadapan kilang beras di sini pada 26 Julai lalu adalah rangka manusia dan kini giat mengesan waris…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Polis tumpaskan ‘Geng Andy’, selesai 10 kes curi rim kenderaan

KOTA KINABALU – Polis Daerah Kota Kinabalu berjaya menumpaskan satu kumpulan jenayah dikenali sebagai ‘Geng Andy’ yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan mencuri rim kenderaan di sekitar daerah ini menerusi beberapa…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rangka dalam guni disahkan manusia, waris sedang dikesan

Rangka dalam guni disahkan manusia, waris sedang dikesan

Polis tumpaskan ‘Geng Andy’, selesai 10 kes curi rim kenderaan

Polis tumpaskan ‘Geng Andy’, selesai 10 kes curi rim kenderaan

Polis Marin Sabah rekod 95 kes, rampasan lebih RM25 juta sejak Januari

Polis Marin Sabah rekod 95 kes, rampasan lebih RM25 juta sejak Januari

Pengesahan umur akaun media sosial diwajibkan individu 16 tahun ke atas

Pengesahan umur akaun media sosial diwajibkan individu 16 tahun ke atas

Rasuk dimakan anai-anai punca runtuhan di Lebuh Armenian

Rasuk dimakan anai-anai punca runtuhan di Lebuh Armenian

DBKL sita 323 basikal sewa beroperasi tanpa lesen di Tasik Titiwangsa

  • By Aden
  • August 4, 2026
DBKL sita 323 basikal sewa beroperasi tanpa lesen di Tasik Titiwangsa