
AHLI Dewan Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menafikan sebarang dakwaan bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara baru-baru ini dicemari unsur campur tangan politik atau penyelewengan, sebaliknya menegaskan bahawa proses berkenaan masih tertakluk sepenuhnya kepada lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan.
Menerusi satu video di aplikasi media sosial miliknya, Mujahid tampil memberikan penjelasan tuntas berhubung isu kontroversi pelantikan Ketua Hakim Negara serta hakim-hakim kanan lain yang dikatakan tertangguh selepas persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
“Saya ingin menyentuh isu ini dari sudut perlembagaan dan bagaimana Perlembagaan Persekutuan kita mengharmonikan antara kuasa-kuasa institusi dan mekanisme perundingan dalam membuat pelantikan,” katanya.
Menurut beliau, mengikut Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan, kuasa melantik Ketua Hakim Negara adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong yang dijalankan atas nasihat Perdana Menteri setelah mendapat rundingan dengan Majlis Raja-Raja.
“Ini fakta penting yang perlu difahami. Selain itu, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) juga memainkan peranan mencadangkan nama-nama calon kepada Perdana Menteri. Jadi, proses ini bukan dibuat secara semberono,” tegasnya.
Mengulas gesaan sesetengah pihak agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kelewatan pelantikan tersebut, Mujahid menyatakan bahawa tuntutan tersebut harus diteliti secara rasional berdasarkan prinsip dan semangat perlembagaan.
“Kita sudah banyak tubuh RCI, tapi dalam kes ini, saya percaya pendekatan lain lebih sesuai. Perkara teknikal dan kelewatan wajar dijelaskan secara harmoni oleh pihak berwajib, bukan dengan tergesa-gesa mencadangkan RCI,” katanya.
Tambah beliau, reformasi terhadap Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) juga perlu dipertimbangkan agar mekanisme pencalonan dapat ditambah baik untuk rujukan pada masa depan.
“Paling penting, kita semua harus mempertahankan Institusi Diraja, memastikan Perlembagaan dihormati dan menjunjung semangat rundingan dalam mencari penyelesaian, bukan mencetuskan persepsi yang boleh menjejaskan institusi,” ujarnya.
Mujahid yang juga bekas Ahli Parlimen Parit Buntar menegaskan bahawa beliau terpanggil menyuarakan isu ini bukan atas kapasiti politik, sebaliknya atas asas prinsip keadilan dan keluhuran perlembagaan.
“Saya bukan mahu memihak kepada mana-mana pihak. Tetapi saya ingin mengajak semua untuk kembali kepada semangat perlembagaan dan keharmonian antara kuasa yang termaktub dalam sistem kita,” katanya mengakhiri kenyataan.







