
LAHAD DATU – Sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh di sebuah rumah tidak bernombor kawasan kebun sawit di Ulu Segangan Silabukan di sini, pada Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, bertindak atas maklumat, lelaki dan wanita warga asing masing-masing berumur 29 tahun berkenaan ditahan pada hari sama.
“Mangsa warga asing berumur 23 tahun ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan di belakang bahagian badan dipercayai akibat senjata tajam.
“Bedah siasat mayat akan dijalankan di Hospital Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan media, pada Sabtu.
Menurut Jimmy, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh uang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.




