
IRAN menegaskan komitmen sebagai negara yang terus menjunjung keamanan serantau meskipun terheret selama 12 hari dalam kancah peperangan menentang provokatif Israel.
Presidennya, Masoud Pezeshkian mengumumkan penamatan konflik bersenjata dengan rejim Zionis meskipun percaya akan berdepan ancaman berterusan.
Pengumuman itu dibuat dalam perutusan khas yang disiarkan agensi berita rasmi IRNA, menyatakan bahawa gencatan senjata telah dicapai hasil daripada keteguhan dan semangat juang rakyat Iran.
“Hari ini, selepas 12 hari penuh cabaran dan penentangan berani oleh rakyat kita, kita menyaksikan bermulanya gencatan senjata. Ini adalah bukti keazaman rakyat Iran dalam mempertahankan maruah dan sejarah negara,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Masaoud turut menegaskan bahawa kemenangan dalam menghadapi ancaman serantau adalah hasil daripada perpaduan dan kekuatan dalaman negara, bukannya bergantung kepada kuasa luar.
“Segala kejayaan kami adalah hasil tekad dan semangat rakyat. Mereka adalah perisai sebenar negara dalam mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayah kami,” katanya.
Presiden Iran itu juga mengadakan perbualan telefon bersama beberapa pemimpin serantau, termasuk Sultan Oman, Haitham bin Tariq, bagi membincangkan situasi semasa dan usaha meredakan ketegangan.
Menurut laporan, kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa tindakan segera diperlukan untuk mengelakkan konflik daripada merebak dan menjadi ancaman lebih besar kepada kestabilan Asia Barat.
Gencatan senjata itu dilihat sebagai satu pencapaian diplomatik penting di tengah ketegangan yang meningkat antara Tehran dan Tel Aviv sejak beberapa minggu lalu.
Ia juga membuka ruang kepada rundingan lanjut dan penyelesaian secara damai terhadap konflik yang berlarutan.
Iran sebelum ini menyuarakan kecaman keras terhadap tindakan Israel yang dianggap sebagai provokasi berbahaya dan pencabulan undang-undang antarabangsa.
.







