Mudir diberi amaran jangan ganggu saksi, lokap menanti jika ingkar

SUNGAI PETANI – Mahkamah Sesyen di sini memberi amaran terhadap seorang mudir yang didakwa atas tuduhan pengabaian, agar tidak mengganggu saksi dalam kes terbabit.

Hakim Azman Abu Hassan memberi amaran tersebut kepada tertuduh, Shahril Bani Mansor, 42, agar tidak ganggu saksi atau sebaliknya boleh dikenakan tindakan jaminan ditarik balik sehingga perbicaraan selesai jika gagal mematuhi arahan terbabit.

Tindakan amaran itu diperintahkan selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha, bahawa isteri kedua tertuduh telah mengambil gambar keluarga salah seorang saksi dan menyebarkannya kepada pihak ketiga.

“Jika kamu, ahli keluarga atau rakan-rakan kamu mengganggu saksi sekali lagi, saya tidak teragak-agak arahkan siasatan menyeluruh dijalankan dan jaminan kamu akan ditarik balik serta ditahan dalam lokap sehingga perbicaraan selesai. Mahu begitu?” kata beliau kepada tertuduh.

Shahril bagaimanapun menafikan mengetahui kejadian itu, mendorong mahkamah memanggil isteri keduanya, Ismaliza Ismail, yang berada di galeri awam untuk memberi penjelasan.

Ismaliza kemudian telah mengaku bahawa beliau berhubung dengan pihak ketiga yang bertanya sama ada kes boleh diselesaikan di luar mahkamah, namun menafikan memandangkan ia sedang dibicarakan.

Dia turut mengaku mengambil gambar keluarga saksi kerana mendakwa ada individu dari pihak mereka merakam video keluarganya.

Susulan itu, Hakim Azman sekali lagi menegaskan bahawa tiada pihak termasuk ahli keluarga tertuduh boleh mengganggu saksi dan menasihatkan semua pihak agar tidak melayan mana-mana pihak ketiga yang mendakwa boleh menyelesaikan kes di luar mahkamah.

“Kes yang telah masuk perbicaraan tidak boleh diselesaikan melalui pihak ketiga. Sebarang urusan mesti melalui Timbalan Pendakwa Raya dan peguam tertuduh. Tiada istilah pihak ketiga,” tegas beliau.

Peguam bela tertuduh, Aqbal Shiffuddin Adnan Sallehudin, memohon agar jaminan anak guamnya tidak ditarik balik memandangkan Shahril tidak mengetahui tindakan isterinya.

Hakim bagaimanapun hanya membenarkan jaminan diteruskan dengan amaran keras.

Pada Mac lalu, Shahril Bani didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 atas tuduhan mengabaikan seorang pelajar lelaki berusia 12 tahun, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di Maahad Tahfiz An-Nur, Merbok, kira-kira jam 7.25 pagi 1 April 2024.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.

Ketika ini, Shahril dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM3,000 sementara menunggu perbicaraan pada 26 dan 27 November depan.

Related Posts

Hak 40 peratus Sabah: Komitmen PMX beri keyakinan baharu kepada Sabah – Joachim

KOTA KINABALU – Komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembangunan Sabah terus mendapat penghargaan apabila pelbagai inisiatif dan projek strategik dilaksanakan bagi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Jungle Food Lab tarikan utama International Week 2026

PENAMPANG – Jungle Food Lab terus mendapat perhatian di Kaamatan International Week 2026 apabila berjaya mengetengahkan makanan tradisional berasaskan sumber hutan Sabah ke peringkat antarabangsa. Pengerusinya, Andrew Ambrose atau Atama…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Hak 40 peratus Sabah: Komitmen PMX beri keyakinan baharu kepada Sabah – Joachim

Hak 40 peratus Sabah: Komitmen PMX beri keyakinan baharu kepada Sabah – Joachim

Jungle Food Lab tarikan utama International Week 2026

Jungle Food Lab tarikan utama International Week 2026

Tuntutan 40 peratus hak Sabah: Saya tidak mahu dilihat melengah-lengahkan – Anwar

Tuntutan 40 peratus hak Sabah: Saya tidak mahu dilihat melengah-lengahkan – Anwar

Gangguan bekalan elektrik, Loji Rawatan Air Utara ditutup sementara

Gangguan bekalan elektrik, Loji Rawatan Air Utara ditutup sementara

Malaysia boleh jadi Kota Baca dalam 20 tahun lagi

Malaysia boleh jadi Kota Baca dalam 20 tahun lagi

Penjimatan kerajaan disalur semula kepada rakyat – Anwar

Penjimatan kerajaan disalur semula kepada rakyat – Anwar