
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO ) hasil sumbangan orang ramai dipercayai melibatkan anggaran kira-kira RM26 juta.
Beberapa siri bongkaran dilakukan SPRM sejak Khamis lalu di sekitar Selangor, Melaka dan Pulau Pinang, termasuk penahanan lima suspek.
Sumber SPRM mendedahkan mereka yang ditahan, termasuklah pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan sebuah pertubuhan.
“Modus operandi mereka adalah untuk menyeleweng dana terbabit hampir sama seperti yang berlaku dengan pertubuhan Aman Palestin apabila mereka memindahkan wang ke dalam akaun peribadi selain bagi membeli barang kemas, kereta, tanah serta rumah termasuk membeli mata wang kripto.
“Mereka juga dipercayai telah memindahkan dana pertubuhan ke akaun peribadi bagi memberi pinjaman kepada kakitangan pertubuhan terbabit,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Dalam pada itu, sumber mendedahkan NGO tersebut turut menggelapkan wang lebihan projek pembinaan telaga bagi misi kemanusiaan di Syria untuk kegunaan sendiri.
“Kegiatan menyeleweng dana hasil sumbangan orang ramai itu dipercayai berlaku dari sekitar tahun 2015 sehingga sekarang.
“Lima suspek terbabit kini direman selama tujuh hari iaitu empat daripadanya direman sehingga Rabu dan seorang lagi sehingga Khamis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penangkapan yang dilakukan dan kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Beliau memaklumkan pihaknya telah menyita pelbagai aset berjumlah lebih RM8 juta menerusi operasi terbabit.
“Aset yang disita adalah barang kemas dianggarkan bernilai kira-kira RM100,000, wang tunai berjumlah lebih RM1 juta, akaun kripto melibatkan nilai kira-kira RM650,000 dan empat unit rumah dianggarkan bernilai lebih RM1.4 juta
“SPRM juga telah membekukan 14 akaun perbankan melibatkan jumlah hampir RM5 juta bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.







