
KOTA KINABALU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Labuan menahan sebuah vesel nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti menunda pukat secara haram di tiga batu nautika dari pantai, pada Isnin.
Pengarahnya, Laksama Pertama Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, turut ditahan seorang juragan bersama lima kru warga Indonesia.
“Penahanan itu dibuat oleh bot peronda Maritim Malaysia ketika menjalankan rondaan rutin dengan bantuan pemantauan dari Stesen Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel terbabit beroperasi kira-kira satu batu nautika Barat Laut dari Tanjung Tembungo.
“Rampasan bot beserta muatan ikan campur seberat satu tan dianggarkan bernilai RM45,000,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.

Jelas Khairulanuar, vesel tersebut melanggar syarat sah lesen di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti perikanan di kawasan yang dilarang.
“Penggunaan kaedah tunda tepi dalam lingkungan kurang tiga batu nautika bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengancam ekosistem marin.
“Kaedah ini boleh memusnakan habitat semula jadi, menggugat kitaran pembiakan ikan dan paling ketara menjejaskan sumber rezeki nelayan tradisional yang bergantung kepada kawasan pesisir pantai,” ujarnya.





