JERANTUT – Kerajaan Pahang menyasarkan peningkatan capaian liputan jalur lebar mudah alih 4G di kawasan berpenduduk di negeri ini 100 peratus hujung tahun ini.
Ketika ini, capaian 4G di Pahang sudah mencecah 99.54 peratus, kata Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.
“Untuk (langkah) sementara, kita ada Pahang Rural Internet Services & Multimedia Access (PRISMA) di kawasan pedalaman yang tiada menara telekomunikasi.
“Kita optimis menjelang perlaksanaan Jendela 2.0, kita dapat selesaikan 100 peratus di kawasan berpenduduk,” katanya ketika melawat menara telekomunikasi Kampung Gusai bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC).
Hadir sama dalam lawatan itu Ketua Pegawai Sektor Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya dan Pengarah MCMC Pahang, Shahrizal Husin.
Dalam perkembangan lain, Fadzli turut menggesa semua penyedia perkhidmatan telco untuk lebih kerap turun padang, terutamanya di kawasan pedalaman bagi memantau kualiti perkhidmatan mereka.
Katanya, perkara ini penting memandangkan kerajaan Pahang tidak mahu penduduk pedalaman ketinggalan dalam mendapatkan maklumat dan perkhidmatan internet yang sewajarnya.




