JERANTUT – Kerja penggantian kabel Gentian Plastik Fiber (FRP) kepada bahan ‘lebih kuat’ membabitkan enam lokasi sejauh lapan kilometer dimulakan semalam di Kampung Gusai, dekat sini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal memaklumkan, ia bagi menggantikan kabel yang kerap dirosakkan oleh haiwan sehingga menjejaskan capaian telekomunikasi di kawasan itu.
“Lawatan hari ini (semalam) membabitkan menara telekomunikasi Kampung Gusai – di penghujung atau paling dalam di mukim Hulu Tembeling.
“Kawasan ini adalah kawasan paling kerap kita terima aduan gangguan akibat kabel digigit tupai, digayut oleh monyet dan haiwan liar lain.
“(Dan) penjelasan pihak FibreComm, penggantian kabel yang berketahanan ini akan bermula dari Kampung Gusai sepanjang 8 kilometer (km) dengan lokasi terakhir di Kem Nusa.
“Kerja ini akan dimulakan hari ini (semalam) dan kita optimis ia boleh selesai sepenuhnya sebelum Ogos tahun ini,” katanya ketika melawat menara telekomunikasi Kampung Gusai bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC).
Menurutnya, kabel baharu yang ‘lebih keras dan kuat’ ini diharapkan dapat menyelesaikan isu gangguan capaian telekomunikasi di kawasan berkenaan.
“Kita harap sangat dengan penggantian kabel baru ini, katanya lebih keras plastik di dalam kabel, boleh menyelesaikan isu gangguan ekoran daripada gigitan tupai, gayutan monyet, dan juga gajah yang merosakkan ‘sambungan’, ” tambahnya.
Dalam pada itu, Fadzli berkata, secara keseluruhan proses penggantian kabel sejauh 120 km membabitkan bandar Jerantut hingga ke Kampung Gusai.
Katanya, kerja penggantian itu dijadualkan selesai penghujung suku ketiga tahun ini.




