
TAWAU – Sebanyak RM10 juta peruntukan tambahan diluluskan bagi menaik taraf tamu desa di Sabah sempena Hari Ibu, tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tambahan itu diberikan bagi menjamin keselesaan para peniaga khususnya para ibu semasa berniaga di tamu-tamu terlibat.
“Sebelum ini Datuk Ewon ada maklumkan untuk tambahan bagi atap tamu desa yang menjual makanan serta buah-buahan.
“Dan ini adalah hadiah sempena Hari Ibu hari ini, kita bagi peruntukan supaya ibu-ibu boleh berniaga dan tidak berdepan panas terik atau hujan lebat,” katanya semasa berucap dalam perasmian penutupan Program MADANI Rakyat Sabah 2025 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT), pada Ahad.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan Sabah menjadi negeri rintis bagi projek Solar MADANI dengan pemasangan 40 lampu di kawasan terpilih di Tawau.
Katanya, projek ini turut diperluas ke perkampungan dan perumahan terpilih seluruh negara.





