KUANTAN – Seorang pelajar lelaki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdul Razak, Pekan, yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah tanpa pengetahuan keluarga semalam, ditemukan selamat di Chukai, Terengganu, pagi tadi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pelajar terbabit, Anas Baihaqi Miqdad Johari, 13, dikesan berada di rumah saudaranya pada jam 7 pagi.
“Berdasarkan laporan diterima pada jam 4 petang semalam, kita menemuramah ahli keluarga pelajar itu.
“Pada jam 7 pagi ini, Anas Baihaqi dikesan di rumah saudara di Chukai, Kemaman, Terengganu dan berada dalam keadaan selamat.
“Jadi, kes kehilangan ini selesai dan siasatan lanjut diteruskan untuk mendapatkan maklumat bagaimana pelajar ini sampai ke Chukai,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan hasil siasatan awal mendapati remaja itu sebelum ini pernah menyuarakan keengganan pulang ke asrama kerana tidak sanggup berjauhan daripada keluarga.
Sebelum kejadian, ibu mangsa berusia 41 tahun memaklumkan anak lelakinya masih berada di rumah pada kira-kira jam 3.30 petang sebelum dilaporkan hilang setengah jam kemudian.






