MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu menggunakan kenderaan mikromobiliti di jalan awam.
Timbalan Pengarahnya, Khairul Aswad Abdul Halim berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai satu video tular berdurasi 18 saat memaparkan tiga individu dipercayai menaiki kenderaan jenis itu.
“JPJ ingin menegaskan perbuatan itu melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada individu terbabit tetapi pengguna jalan raya yang lain.
“Menurut peruntukan mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), mana-mana individu menggunakan kenderaan tidak dibenarkan di atas jalan awam, boleh disabitkan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Khairul Aswad memaklumkan, sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya.
Beliau berkata, penggunaan kenderaan mikromobiliti di jalan raya adalah dilarang, termasuk e-skuter, hoverboard, monowheel, segway serta basikal elektrik tanpa kelulusan, berdasarkan Perintah Larangan Kenderaan (Penggunaan Jalan) (Pindaan) 2021 yang diwartakan dan berkuat kuasa pada 17 Disember 2021.
“Kenderaan mikromobiliti hanya dibenar digunakan di kawasan yang dikhaskan seperti taman rekreasi, laluan khas atau kawasan persendirian, dan bukan di atas jalan awam.
“JPJ memandang serius kesalahan ini, dan orang awam disarankan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta tidak menggunakan kenderaan yang dilarang bagi menjamin keselamatan diri dan orang lain,” katanya.




