DATUK Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan RM5,000 bagi membantu menyelesaikan isu tunggakan bil air di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi, dekat Kuantan, Pahang.
Sumbangan itu diserahkan Setiausaha Politik beliau, Datuk Ahmad Farhan Fauzi bagi menjelaskan tunggakan bayaran yang mencecah ribuan ringgit kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Farhan memaklumkan isu bekalan air yang berlaku sejak Mac lalu memberi kesan kepada pengurusan dan kemudahan asas di kawasan perkuburan yang sering diziarahi waris dan masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, proses penyambungan semula bekalan air telah dilaksanakan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang cakna dan bersama-sama memastikan kemaslahatan masyarakat terus terpelihara,” katanya dalam hantaran yang turut dikongsi di Facebook Anwar.
Ahmad Farhan berharap usaha kecil itu dapat memberikan manfaat dan kemudahan kepada waris serta pihak pengurusan tanah perkuburan berkenaan.




