
KOTA KINABALU – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu berjaya menangkap seekor anak buaya dengan panjang anggaran satu meter dan berat kira-kira 10 kilogram, di Kampung Likas, di sini, pada Sabtu.
APM Kota Kinabalu dalam hantarannya di laman Facebook berkata, mereka menerima panggilan kecemasan berkenaan kes tersebut pada pukul 3.18 pagi.
Menurut kenyataan itu, sebelum anggota APM bergerak ke lokasi tersebut, pengadu memaklumkan bahawa buaya itu sedang berada di sekitar kawasan rumahnya.
“Setibanya di lokasi tersebut, pengadu memaklumkan buaya berkenaan lari ke kawasan semak berhampiran rumahnya.
“Operasi pencarian kemudian dilakukan di kawasan berkenaan yang ditunjukkan oleh pengadu dan anggota APM mendapati buaya tersebut masih berada di situ.
“Anggota APM kemudian bertindak membuat proses penilaian keselamatan dan segera melakukan operasi menangkap buaya tersebut dengan menggunakan tali untuk menjerut mulut buaya serta kain bagi menutup mata buaya berkenaan,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, tangkapan tersebut berjaya dibuat dan buaya berkenaan seterusnya dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Kinabalu untuk diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL).
Sehubungan itu, sebarang kes kecemasan, orang awam boleh menghubungi PKOD Kota Kinabalu di talian 088-232453 atau talian kecemasan 999.





