PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyerahkan segala keputusan kesalahan berkaitan dana Armada kepada Allah.
Beliau menegaskan, tidak pernah meminta kesnya digugurkan atau cuba melengahkan proses mahkamah.
“Esok (hari ini) adalah hari penentuan. Saya tidak pernah menerima sogokan, tidak melompat parti.
“Saya mahu membersihkan nama di mahkamah walau apa pun risikonya.
“Selepas bertahun berdepan pelbagai tekanan dan ujian, esok (hari ini) mahkamah rayuan akan menentukan nasib saya.
“Sejak tahun 2020, saya dah keluarga disiasat, bermula dengan cubaan sogokan, berakhir dengan ugutan.
“Semuanya kerana saya enggan menggadai prinsip dan menjual maruah diri,” katanya menerusi hantaran di Instagram lewat malam tadi.
Nasib bekas Menteri Belia dan Sukan itu – sama ada dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta atau kekal bersalah – atas empat kesalahan berkaitan dana Armada akan diputuskan selepas hujahan di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
Sebelum ini mahkamah menetapkan hujahan bagi kedua-dua pihak dijalankan selama dua hari iaitu 19 dan 20 Mac.
Dalam pada itu Syed Saddiq turut memohon doa orang ramai agar kebenaran dan keadilan berpihak kepadanya.
“Insya-Allah… kebenaran akan tertegak juga. Kalau ingin tunjukkan sokongan, tidak perlu protes, tidak perlu menyerang hakim, tidak perlu merendahkan martabat sesiapa pun,” jelasnya.








