SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta di Jalan Alor Jambu, dekat Kuala Terengganu, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku jam 9.15 malam ketika Muhamad Ali, 48, dalam perjalanan dari rumahnya di Padang Kemunting menghala ke Padang Nenas.
Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Proton Saga dipandu lelaki berusia 22 tahun dipercayai melanggar motosikal itu dari belakang, mengakibatkan Muhamad terpelanting dan mengalami kecederaan parah.
Azli berkata, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah.
“Pemandu kereta adalah seorang peniaga di bazar Ramadan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Azli meminta saksi kejadian untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





