
KANGAR – Pemuda UMNO Malaysia menyifatkan cadangan menyekat peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada ke luar negara sebagai langkah bagi memastikan mereka tidak lepas tangan dalam melunaskan hutang.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah itu bukan bertujuan menghukum peminjam, sebaliknya sebagai peringatan bahawa tanggungjawab perlu diselesaikan.
“Kami bukan mahu menghukum, tetapi ini soal keadilan. Jika seseorang mampu melancong ke luar negara, mengapa tidak mampu membayar pinjaman yang digunakan untuk pendidikan mereka?” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Semalam media melaporkan, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam PTPTN yang gagal membayar balik pinjaman.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mustapha Sakmud dilaporkan berkata, kaedah itu antara langkah sedang dipertimbangkan bagi memperkasakan bayaran balik pinjaman dalam kalangan peminjam PTPTN malah ia memberikan impak baik dalam proses pembayaran balik, cuma selepas itu dimansuhkan.
Menurut Dr Akmal, pembayaran balik PTPTN penting bagi memastikan dana tersebut dapat terus membantu pelajar lain yang memerlukan pinjaman pendidikan.
“Jika semua orang mengabaikan hutang mereka, bagaimana PTPTN mahu menyediakan dana untuk generasi akan datang?” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa peminjam perlu bersikap adil terhadap mereka yang patuh membayar hutang mengikut jadual.
“Kita tidak boleh membiarkan segelintir individu mengambil kesempatan sedangkan ada peminjam lain yang bertanggungjawab dan membayar mengikut perjanjian,” ujarnya.
Jelasnya lagi, langkah ini bukan sesuatu yang baharu kerana sebelum ini sekatan perjalanan juga dikenakan terhadap peminjam tegar yang gagal melunaskan bayaran dalam tempoh yang ditetapkan.







