
KUCHING – Tradisi pengagihan bubur lambuk pada bulan Ramadan bukan sahaja sebagai amalan jariah tetapi mempereratkan hubungan masyarakat.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan setiap tahun.
“Saya berharap program mengagih bubur lambuk dapat diteruskan setiap tahun dan diperluaskan banyak lokasi pada masa akan datang,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah oleh media selepas mengagihkan 1,200 pek bubur lambuk kepada masyarakat di Masjid Darul Hana sempena Program Pengagihan Bubur Lambuk CATS FM pada Sabtu.

Untuk rekod, sebanyak 4,800 pek bubur lambuk diagihkan di empat masjid sekitar Kuching hari ini, termasuk Masjid D9arul Hana, Masjid Ikhwanul Islam di Taman Sukma, Masjid Al Ghazali (Jalan Depo), dan Masjid India Bandar Kuching.
Program anjuran CATS FM ini akan diteruskan esok di bahagian Kota Samarahan, melibatkan Masjid Ar-Riyadh (Taman Samarindah), Masjid Darul Ulum (Taman Desa Ilmu), dan Masjid Al-Kawthar (Gedong).
Turut hadir Pengurus Program CATS FM, Mohamad Fadzli Daud (Fuzz) dan Penyampai CATS FM, Elya Nabila.




